Pengendali Utama Blog Keluarga Bahagia

Pasir Gudang, Johor, Malaysia

Informasi KB

SELAMAT DATANG. UNTUK MENDAPATKAN PAPARAN YANG LEBIH BERMUTU, BLOG INI SESUAI DILAYARI MENGGUNAKAN MOZILLA FIREFOX DAN JIKA TERDAPAT KESULITAN, SILA MAKLUMKAN KEPADA KAMI. HARAP MAKLUM.

Info Solat KB

~Ruangan Chit-chat @ KB~

Adakah anda bersetuju, Matematik dan sains diajar dalam Bahasa Inggeris?

Kembalikan Matematik dan Sains Dalam Bahasa Melayu

Ahad, Disember 21 6 Komentar

Salam buat semua pengunjung KB... artikel pada kali ini merupakan petikan daripada pemimpin tertinggi UMNO yang sekarang ini bertanding merebut jawatan ketua pemuda UMNO dan juga merupakan bekas Menteri Besar Selangor iaitu Dr Mohamad Khir Toyo. Bagi saya isu pengajaran Matematik dan Sains ini amat menarik dan perlu diikuti perkembangnya, apatah lagi saya merupakan salah seorang tenaga pengajar yang melaksanakan dasar kerajaan yang mengajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.

Adakah mungkin kerajaan akan kembali semula kepada sistem lama iaitu mengajar kedua-dua matapelajaran ini di dalam Bahasa Malaysia? Bagaimana pula dengan pendapat saudara-saudari pengunjung KB? Diharapkan anda dapat membuat undian yang KB sediakan sama ada bersetuju atau tidak pengajaran Matematik dan Sains ini diajar dalam Bahasa Inggeris. Undi yea...jangan tak undi..

Berikut dibawah ini artikel diambil dari blog Dr Mohamad Khir Toyo:


1. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan pada Januari 2003 bertujuan melahirkan kumpulan pelajar yang berkebolehan menulis, memahami dan berfikir dalam bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini. Ini kerana di peringkat universiti atau pengajian tinggi banyak buku dan makalah dalam kedua-dua subjek ini diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

2. Dengan kata lain matlamat utama PPSMI ialah untuk melahirkan kumpulan pelajar yang menguasai ilmu terkini dalam kedua-dua bidang. Ia juga bertujuan melahirkan tenaga akademik yang berupaya menulis di dalam jurnal antarabangsa dan tenaga kerja yang memenuhi tuntutan pasaran kerja.

3. Di samping itu, PPSMI diharap dapat melahirkan generasi muda yang berkebolehan menggunakan bahasa Inggeris dengan baik.

4. Saban tahun polemik ini tidak pernah padam. Rencam pendapat dan alasannya pelbagai. Yang menyokong melihat dari sudut kepentingan generasi muda menguasai bahasa Inggeris dengan baik dalam menghadapi arus globalisasi.

5. Yang menentang pula melihat dari sudut penghakisan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama Malaysia dan juga sebagai bahasa pengantar di Institut Pengajian Tinggi Awam.

6. Yang berbelah bagi ialah ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa menghadapi secara langsung kesan kepada sistem ini. Bagi golongan Melayu kelas elit dan pertengahan mereka kurang menghadapi masalah kerana anak-anak mereka telah pun didedahkan dengan pengajaran dalam bahasa Inggeris sejak di tadika lagi.

7. Bagi kebanyakan orang Melayu, anak-anak mereka masih berfikir, bercakap, menulis dan membaca dalam bahasa Melayu. Jika dulu ramai anak-anak Melayu merasa terasing dan sering tidak berminat dengan kelas bahasa Inggeris, hari ini sudah menular pula ke kelas matematik dan sains. Selain tidak faham, mereka juga merasa rendah diri dengan kekurangan dalam penguasaan bahasa Inggeris.

8. Saya memahami hasrat kerajaan untuk melakukan kejutan budaya terhadap anak-anak di sekolah dan juga ibu bapa. Memang benar, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

9. Ibu bapa juga mahu anak-anak mereka mahir dalam bahasa Inggeris. Tapi apakah bahasa Inggeris lebih penting dari kemahiran hidup seperti ilmu hisab (matematik) dan sains? Tentu ramai ibu bapa yang tidak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

10. Namun setelah lima tahun pelaksanaannya, kita perlu bertanya kembali, ruyung yang mahu dipecahkan sudah mengeluarkan sagu atau yang dikendong berciciran yang dikejar entah ke mana?

11. Apa guna kita melahirkan seribu ahli akademik yang melahirkan pendapat akademik dalam bahasa Inggeris dan terbentang dalam jurnal antarabangsa tetapi beratus ribu anak Melayu akan datang tidak menguasai kemahiran asas mengira dan juga ilmu kemahiran hidup (sains)?

12. Oleh kerana matematik dan sains juga merupakan matapelajaran teras dalam peperiksaan (dan juga ketika memohon kebanyakan pekerjaaan yang baik) , saya khuatir jurang di kalangan generasi muda bandar dan luar bandar akan bertambah jauh.

13. Saya akui kepentingan kemahiran bahasa Inggeris. Namun telah jelas setelah enam tahun ia dilaksanakan tentangan terhadap PPSMI bukan kian mengecil malah kian membesar. Ini menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap kemampuan PSSMI membina generasi muda yang lebih baik kian terhakis.

14. Setelah mendengar banyak pendapat di bawah, juga pandangan di atas, yang dari “kiri”, juga “kanan” dan “atas pagar”, saya fikir:

a. Sudah tiba masanya kerajaan kembali kepada sistem pengajaran yang lama menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa Pengantar untuk Matematik dan Sains di sekolah terutamanya dari tahun satu sehingga ke Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.

b. Di samping itu, memandangkan telah beratus juta dibelanjakan untuk sistem PPSMI ini maka ia harus terus dieksploistasi sebaik mungkin. Justeru, saya ingin mencadangkan agar kementerian pelajaran meneruskan PSSMI ini sebagai satu kelas tambahan selama dua atau tiga jam seminggu untuk setiap tahap pengajian bermula tahun satu.

c. Elaun tambahan yang sebelum ini diberikan kepada guru PPSMI boleh dikekalkan dengan syarat mereka memperuntukkan beberapa jam tertentu dalam seminggu mengajar kelas tambahan sebelah petang kepada para pelajar.

d. Dengan cara ini pelajar akan mendapat keuntungan maksima dari segi penguasaan Matemati dan Sains dan juga penguasaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini.

e. Jika penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi isu, maka sukatan pelajaran bahasa Inggeris sendiri perlu dirombak dan dicari kaedah yang lebih baik termasuk memperkenalkan mata pelajaran kesusasteraan inggeris di peringkat lebih awal.

15. Saya sedar betapa Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin menghadapi keadaan yang amat sukar untuk membuat keputusan. Ini kerana walau apa pun keputusan yang dibuat ia akan tetap membangkitkan polemik baru. Tidak mungkin sesuatu keputusan yang dibuat akan memuaskan hati semua pihak.

16. Namun keputusan ini harus di buat atas kepentingan anak bangsa bukannya ego politik parti pemerintah mahu pun berdasarkan siapa yang paling kuat melobi.

17. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Demikian juga kerajaan yang mengubah sesuatu keputusan demi kebaikan yang lebih besar tidak akan jatuh maruahnya.

Keluarga Bahagia

6 Komentar: to “ Kembalikan Matematik dan Sains Dalam Bahasa Melayu so far...

  • hazlin 21 Disember 2008 5:54 PTG
     

    Salam singgah buat pertama kalinya. Saya adalah antara ratusan ribu tenaga pengajar yg terlibat secara langsung dengan ppsmi. jujurnya saya mengakui ppsmi ini ada pro dan kontra nya. jika dilihat dr sudut menjawab kertas peperiksaan, anak murid saya lebih selesa menjawabnya dlm bi. namun komunikasi masih dwi bahasa. w/p diajar dlm bi hampir 99%, namun anak didik lebih selesa berbahasa melayu.
    namun peningkatan % lulus dlm subjek bi, menunjukkan ppsmi banyak membantu. ppsmi boleh berjaya jika guru juga memainkan peranan utk bekerjasama dan mengajar bersungguh-sungguh. Guru juga perlu belajar....

  • SepHia 21 Disember 2008 6:02 PTG
     

    Bg seph.. mmg patut di teruskan.. byk positif yg kter dpt berbanding negatif.. Mmg x dinafikan ada juga negative dr pelbagai sudut..

    Tp dr segi positifnya... anak2 @ pelajar kini lebih cenderung utk belajar & mnggunakan bahasa inggeris. Malah berguna sehingga mereka melanjutkan pelajaran keperingkat lebih tinggi. Mungkin agak sukar bg ibubapa dikawasan yg agak pedalaman utk membantu anak mereka belajar dlm bahasa ini, tetapi dengan bantuan guru2 disekolah..alah bisa tegal biasa.. insyallah..

    Para guru juga secara x lngsung dpt mendalami bahasa ini semasa berkomunikasi dengan pelajar wpon tak mnggunakan grammar yg betul.. asalkan dapat difahami kedua2 belah pihak.. Practise make perfect..

    tu bg seph laa ape yg seph tgk cbb mama seph pon mngajar sains n math in english tahap 1..

  • Tirana 21 Disember 2008 6:50 PTG
     

    Bagi saya untuk belajar BI, kita kena gunakan BI itu sendiri. Boleh ke belajar BI menggunakan Maths dan Science? Mungkin boleh membantu jika murid sudah ada asas BI. Tapi bagi murid yang tiada asas, tentu terkial-kial.

    Bukanlah salah menggunakan BI sebagai bahasa pengantar kepada kedua-dua subjek tersebut tapi dalam masa yang sama fokuskan juga pada subjek BI itu sendiri. Buat satu kaedah mengajar BI yang lebih efektif untuk memantapkan asas bahasa itu di kalangan murid. Bila murid telah ada asas dan dapat menguasai BI dengan baik, tentu tidak ada masalah baginya untuk belajar Science dan Maths dalam BI malah untuk belajar lain-lain subjek dalam BI pun tidak jadi masalah.

  • Eugenia Darwis 21 Disember 2008 9:10 PTG
     

    Sbg seorg ibu, G setuju PPSMI ni diteruskan. Anak yg sulung belajar Sains & Maths dlm BM, alhamdulillah takde masalah belajar dlm BI di MRSM, tahun depan PMR. Anak kedua akan masuk tahun 3, juga tiada masalah. Kalau PPSMI ni tak diteruskan, rugi la anak G yg bungsu, tahun depan baru nak melangkah ke Tahun 1...

    Tetapi G mengajar tusyen di rumah, tahun lps, seorg dpt 5A, tiga org dpt 4A, agak membanggakan bagi sorg guru yg tak bertauliah. Tapi keputusan tahun ni sungguh menyedihkan dan semuanya berpunca drpd PPSMI, kasihan anak bangsa...

  • Tihara 21 Disember 2008 11:23 PTG
     

    saya pun bukan tak setuju math dan sains diajar dalam B.I tapi kalau nak teruskan juga..bahasa pengantar di sekolah kenalah dalam B.I juga. Bila murid2 dah biasa gunakan bahasa B.I dalam percakapan harian tentu tiada masalah lagi dalam penguasaan Sains dan Maths dalam B.I.

  • antipenoda 28 Disember 2008 8:57 PTG
     

    Perosak dan perogol bahasa Melayu tidak berasa rugi apa-apa bahkan seronok melihat bahasa Melayu terus diperlakukan sedemikan.